Saturday 9 March 2013

Seni pertahanan diri banyak manfaat 

BERSEMANGAT: Dr Jerip memukul gendang sebagai simbolik perasmian Festival Pertunjukan Seni Bela Diri Kuching 2012. Turut kelihatan Baderi (dua kiri) dan Chan (dua kanan).

KUCHING: Seni mempertahankan diri bukan sahaja dapat menjaga keselamatan daripada ancaman musuh tetapi boleh dijadikan satu kaedah senaman untuk badan.

Menteri Muda Kesihatan Awam Dr Jerip Susil berkata mempelajari dan mempraktikkan seni mempertahankan diri merupakan salah satu amalan gaya hidup sihat.

Beliau menjelaskan bahawa seni bela diri merupakan seni turun-temurun yang sudah menjadi warisan amalan orang dahulu untuk mempertahankan diri yang dilihat dapat mengekalkan kesihatan pengamalnya.

“Seni mempertahankan diri ini juga penting kepada kesihatan kita kerana ia merupakan salah satu senaman harian yang mampu menguatkan badan daripada dihinggapi penyakit.

“Selain dapat mengekalkan seni warisan, amalan ini juga dapat mewujudkan satu komuniti yang sihat,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Festival Pertunjukan Seni Bela Diri Kuching 2012 di Stadium Hoki Negeri di sini semalam.
Tambahnya, dengan pengamalan gaya hidup sihat menerusi seni bela diri risiko dihidapi penyakit seperti darah tinggi, diabetes, obesiti dan sebagainya dapat dielakkan.

Selain itu, Dr Jerip memberitahu seni bela diri juga mampu mempersiapkan seseorang untuk mempertahankan diri daripada ancaman jenayah terutama golongan wanita.

“Kita lihat dalam surat khabar kebanyakan jenayah telah meningkat di kawasan bandar seperti kes ragut dan selalunya golongan wanitalah yang menjadi mangsa.

“Maka dengan itu alangkah baiknya kalau kita menyediakan diri dengan seni bela diri supaya kita boleh mempertahankan diri sendiri daripada menjadi mangsa jenayah,” katanya.

Malah, beliau memberitahu bahawa seni bela diri juga dapat dijadikan platform merapatkan perpaduan masyarakat di negeri ini.

“Seni ini mengajar kita bersatu dalam pasukan serta berdisiplin yang boleh mengukuhkan tali persaudaraan antara kita, jadi saya berharap amalan ini menjadi amalan semua masyarakat di negeri ini,” ujarnya.

Hadir sama Datuk Bandar MBKS James Chan, Pengerusi Penganjur Kaunselor Abdul Baderi Sahmat dan tetamu kehormat lain.

http://www.theborneopost.com/2012/07/30/seni-pertahanan-diri-banyak-manfaat/

 

0 comments:

Post a Comment