Tekad seorang guru silat
Sumiri menunjukkan sijil pengiktirafan dan majalah yang pernah menyiarkan artikel tentang dirinya sebagai guru silat harimau.
KOTA TINGGI – Untuk bergelar seorang guru silat bukanlah mudah, malah banyak rintangan yang harus dilalui sebelum mendapat pengiktirafan tersebut.
Bagi Sumiri Rosdi, 65, walaupun terpaksa mengayuh basikal berpuluh kilometer semata-mata untuk belajar ilmu persilatan satu masa dahulu, ternyata tekadnya berbaloi tatkala melihat ratusan anak-anak muda mewarisi ilmu silat harimau yang diturunkannya.
Menurut bapa kepada empat orang anak hasil perkongsian hidup bersama isterinya, Siti Fatimah Sulaiman, 60, mempunyai ilmu persilatan bukanlah alasan bagi seseorang itu untuk mencari gaduh atau memukul orang sesuka hati.
Sebaliknya, ilmu persilatan haruslah digunakan untuk tujuan kebaikan terutamanya untuk mempertahankan diri ketika berada dalam kesulitan dan kesusahan.
“Kerana minat dan semangat yang mendalam untuk mempelajari ilmu tersebut, saya mula menuntut ilmu silat ketika usia tujuh tahun dengan seorang guru bernama Muhammad di Kampung Parit Haji Zin.
“Ketika itu, bapa saya juga merupakan seorang guru silat namun entah kenapa bapa berkeras enggan mengajar dan menyuruh saya menuntut dengan guru lain.
“Namun ia tidak mematahkan semangat saya. Dengan tekad yang tinggi, saya berjaya menuntut ilmu dengan guru tersebut walaupun terpaksa menempuh perjalanan jauh.
“Alhamdulillah saya akhirnya berjaya menuntut ilmu silat ini sehingga habis walaupun banyak rintangan yang harus dilalui, malah sehingga kini saya masih lagi mempertahankan ilmu persilatan yang diajar beliau,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, usaha kerasnya sejak kecil itu ternyata tidak sia-sia apabila kini dia sudah mempunyai lapan gelanggang silat termasuklah tiga di Felda Air Tawar 4 manakala lima lagi di Felda Semenchu.
“Saya mula mengajar ilmu silat sejak usia 15 tahun namun ia terhenti seketika sebelum saya berpindah ke rancangan Felda pada tahun 1981. Bagaimanapun pada tahun 1990, saya terbuka hati untuk membuka gelanggang semula di sini.
“Sambutan yang terima begitu menggalakkan khususnya daripada golongan belia. Beberapa cawangan lain turut dibuka bagi memberi peluang generasi muda mempelajari ilmu silat harimau ini dan ternyata telah berkembang sehinggalah sekarang,” katanya.
Selain mengajar di gelanggang, pengalaman menjadi guru persilatan selama bertahun lamanya turut dihargai oleh pihak sekolah apabila beliau dilantik untuk menurunkan ilmu mempertahankan diri itu kepada pelajar.
Katanya, peluang mengajar pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Semenchu dan SMK Agama Bandar Penawar tidak dipersiakan begitu sahaja, malah setiap kali kejohanan pencak silat yang dianjurkan, pasti ada sahaja piala yang akan dibawa pulang.
“Saya sering mengingatkan kepada anak murid saya mempelajari persilatan sebenarnya bukanlah bertujuan untuk mencari kekuatan sebaliknya mencari ilmu.
“Apa yang paling penting silat adalah satu seni untuk menaikkan martabat orang Melayu agar bangsa Melayu tidak mudah diperlekehkan oleh orang luar," katanya.
Jasa beliau mengajar seni mempertahankan diri kepada golongan belia itu turut mendapat banyak pengiktirafan dan anugerah antaranya daripada Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) serta Kementerian Belia dan Sukan.
Malah siapa sangka wajah Sumiri ini juga pernah menjadi penyeri muka hadapan sebuah majalah mempertahankan diri pada satu masa dahulu.
Sinar Harian 16 Okt 2012
0 comments:
Post a Comment